Melayu mempunyai tanah iaitu Tanah Melayu atau tanah rizab Melayu. Malangnya, sebahagian besar sudah jatuh kepada bukan Melayu terutama di kawasan bandar. Melayu mempunyai tulisan iaitu tulisan Jawi, malangnya telah diganti ke tulisan rumi. Melayu mempunyai bahasa iaitu bahasa Melayu, malangnya, ia semakin melayu (layu).
Melayu mempunyai keretapi iaitu Keretapi Tanah Melayu, malangnya telah diganti menjadi nama komuter, ERL, LRT, monorail dan lain-lain nama glamor. Tanah ini, negeri Melayu, tetapi tidak ada sekolah Melayu. Sedangkan bangsa lain ada sekolah untuk bangsanya.
Melayu tidak bersatu hati, ada agenda tersendiri. Melayu tidak mahu dengar nasihat sesama Melayu. Melayu memandang rendah sesama Melayu. Inilah hati Melayu.
Ada yang mengatakan hati Melayu telah mati. Hati Melayu sudah tidak sensitif lagi.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa hati kita ini bagaikan kuah yang sedang mendidih. Simpang siur dan turun naiknya begitu unik. Kekadang ia sihat dan baik. Namun sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.
Seorang ulama dan cendekiawan Islam ada berkata, antara tanda-tanda hati seseorang itu telah mati adalah tidak berasa sedih kerana tertinggal suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika buat sesuatu dosa.
Marilah kita muhasabah diri. Hati Melayu perlu dibaja kembali dengan iman dan Islam. Suka kepada kebaikan yang dapat menjana kekuatan dan perpaduan. Lupakanlah sengketa lalu.
Pesan Imam Al-Ghazali: “Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati.”
Inilah hati Melayu yang sebenar. Bebas daripada dendam dan hasad dengki. Carilah hati itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan