Najib berkata mereka ialah Naib Ketua Wanita Datuk Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha Wanita Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

"Kita ada kuasa untuk melantik 13 orang anggota MT tambahan, dua daripada Wanita, seorang daripada Pemuda dan Puteri, jadi baki lagi sembilan orang akan diumumkan pada awal minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MT selepas proses pemilihan parti bulan lepas.

"MT juga mengambil keputusan supaya semua menteri besar dijemput untuk turut hadir dalam mesyuarat MT kerana mereka ada kuasa sebagai menteri besar dan pengerusi perhubungan negeri, amalan ini sudah berlaku sebelum ini," katanya.
"Kehadiran mereka tidak akan menyekat peluang untuk lantikan tambahan sembilan orang lagi anggota MT," katanya.

Najib berkata MT juga mengesahkan untuk meneruskan khidmat penyandang jawatan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.

Najib turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menerima sebarang cadangan dan pandangan untuk penambahbaikan proses pemilihan parti yang pertama kali diadakan bulan lepas selepas pindaan perlembagaan parti itu pada 2009.

Beliau berkata cadangan yang diterima akan dikaji tanpa mengorbankan konsep fundamental iaitu pemilihan yang dilakukan oleh bilangan yang ramai kerana ia merupakan satu prinsip yang amat baik untuk diteruskan dan diterima oleh anggota parti.

"Ini menunjukkan bahawa Umno mempunyai iltizam politik untuk melakukan transformasi pada parti supaya parti kita merupakan parti yang lebih progresif mengikut tuntutan perubahan masa," katanya.

Selain itu, kata Najib, MT juga memutuskan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Bantahan yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Azmi Khalid berikutan pelbagai aduan diterima mengenai perjalanan pemilihan yang dibuat di peringkat bahagian khususnya pemilihan sayap-sayap.

"Jawatankuasa khas ini akan melaporkan aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan yang telah diturunkan mandat kepada MT untuk membuat keputusan muktamad tentang kes-kes bantahan yang telah diterima," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata sebanyak 172 bantahan diterima berkenaan pemilihan parti itu termasuk isu disiplin.<
"Apabila timbul soal disiplin, kita kena rujuk pada Jawatankuasa Disiplin dan kemudian yang lain itu berkaitan dengan proses pemilihan akan diteliti oleh Jawatankuasa Bantahan dan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan yang akhirnya akan membuat keputusan tentang kes-kes yang telah diajukan ini," katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang akan dibuat berkaitan bantahan-bantahan itu akan menjejaskan keputusan pemilihan parti sebelum ini, beliau berkata ia tidak akan berlaku kerana keputusan pemilihan itu telah disahkan Jawatankuasa Pemilihan dan diumumkan presiden parti.

"Tetapi kes-kes tertentu di mana mungkin perlu ada pemilihan semula, ada beberapa kes-kes yang tertentu itu kita akan telitilah dan akan kita putuskan dalam tempoh sebelum perhimpunan," katanya.

Najib turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan pasukannya yang bekerja keras dalam menjayakan pemilihan Umno baru-baru ini.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno 2013, Najib berkata ia akan berlangsung dari 2 hingga 7 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan forum antarabangsa pada 2 dan 3 Disember taklimat presiden dan perasmian persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri (3 Disember), persidangan ketiga-tiga sayap (4 Disember) dan perhimpunan Agung pada 5 hingga 7 Disember, katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang baharu seperti berikut:
Perlis   
Datuk Seri Shahidan Kassim (Pengerusi)
Azlan Man (Timbalan Pengerusi)

Kedah
Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah

Pulau Pinang

Datuk Zainal Abidin Osman
Datuk Reezal Merican Naina Merican

Perak
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Selangor
Datuk Seri Noh Omar
Abdul Syukur Idrus

Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Negeri Sembilan 
Datuk Seri Mohamad Hasan
Datuk Hasan Malek

Melaka         
Datuk Idris Haron
Datuk Abd Ghafar Atan

Johor 
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Abdul Latif Ahmad

Pahang 

Datuk Seri Adnan Yaakob
Datuk Mohd Sharkar Shamsudin

Terengganu

Datuk Seri Ahmad Said
Datuk Jailani Johari

Kelantan
Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Noor Zahidi Omar

Sabah
Datuk Seri Musa Aman
Datuk Seri Salleh Said Keruak
- Bernama