# BULETIN SANTAN BERLADA.BLOGSPOT.COM #

# AKAN MEMBONGKAR SEGALA PEMBOHONGAN DAN PENYELEWENGAN PEMIMPIN PARTI PEMBANGKANG DAN PEMIMPIN PARTI PEMERENTAH DEMI AGAMA ISLAM, BANGSA MELAYU DAN NEGARA MALAYSIA#.


# PERKARA 152 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MEMPERUNTUKAN BAHAWA BAHASA KEBANGSAAN ADALAH BAHASA MELAYU #

# TIDAK WUJUD ISTILAH BAHASA MALAYSIA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN #

# OLEH ITU PENGGUNAAN BAHASA MALAYSIA ADALAH SALAH DAN BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN #

# TAK KIRA SIAPA JUA YANG MENGGUNAKAN ISTILAH BAHASA MALAYSIA TERMASUKLAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN SALAH TETAP SALAH#






Jumaat, 30 November 2012

Ahli Parlimen Tersentuh Dengan Ucapan Speakar


Hari terakhir persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ini menyaksikan suasana mesra selain ucapan serta kata-kata yang menyentuh hati daripada Speaker, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Sebelum menangguhkan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat semalam, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berucap menyentuh 'suka duka' beliau sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat sejak tahun 2008.

Pandikar Amin dalam ucapan penangguhannya juga menyatakan ia mungkin menjadi persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen veteran Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) ketika diminta mengulas mengenai ucapan Pandikar Amin menyifatkan ucapan tersebut amat menyentuh perasaan.

Ucapan tadi merangkumi perjalanan Dewan Rakyat sejak 2008 hingga hari ini. Bagi saya Tan Sri Pandikar Amin berjaya mengawal persidangan yang berlangsung dengan matang dan begitu terkawal.

Apa yang berlaku menunjukkan Dewan Rakyat Malaysia kini sudah mencapai tahap kematangannya tersendiri berdasarkan pengalaman dan sejarah yang dilalui," katanya.

Azmi yang turut menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding PRU-13 berharap mereka yang berhasrat untuk bergelar Yang Berhormat selepas ini supaya ikhlas berjuang untuk rakyat dan negara.

Sementara itu ahli Parlimen pembangkang Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) ketika ditemui berkata ucapan terakhir yang disampaikan Speaker adalah dari hati yang tulus.

Sepanjang empat tahun menjalankan tanggungjawab sebagai Speaker beliau menjalankan tugas dengan baik.

Dalam keadaan tegang sekalipun Tan Sri Pandikar berjaya mengawal keadaan dengan baik. Dalam keadaan tertekan sekalipun cuma kata-kata yang terbang dari beliau, katanya.

Mohd Hatta berkata biarpun ada ketika Speaker terpaksa menggantung seseorang ahli Parlimen namun beliau percaya Tan Sri Pandikar Amin mempunyai hujah tersendiri.

Terdapat Anggota Parlimen yang dilihat mengambil gambar secara berkumpulan di dalam dewan persidangan sebagai kenangan sempena hari terakhir sidang Dewan Rakyat.

Antara yang dilihat bergambar ialah Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) dan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar).

Sementara itu ahli Parlimen pembangkang Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) bersalaman dengan wartawan yang bertugas di lobi Parlimen.

Saat ini sangat menyentuh emosi, katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada para wartawan yang bertugas di Parlimen semalam.

Ahli Veteran UMNO Taiping Meninggal Dunia Dekat PWTC

Seorang anggota veteran yang menyertai rombongan Umno bahagian Taiping, Perak ke Perhimpunan Agung Umno 2012, meninggal dunia selepas rebah di hentian bas berhadapan sebuah hotel berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
    
Ahmad Hariri Alang Othman, 62, dari Kampung Pinang, Kamunting, rebah di tempat kejadian pada jam 5.40 petang ketika rombongan yang disertainya sedang bersiap untuk pulang ke Taiping.
    
Azis Taib, 44, yang menyaksikan kejadian itu, berkata beliau melihat Allahyarham dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum rebah.
    
Saya menghampirinya dan melihat darah keluar dari kepala. Kemudian saya mengangkat tangan kiri Allahyarham tetapi beliau tidak menunjukkan sebarang reaksi.
    
Selepas itu beberapa orang menghampiri Ahmad Hariri dan saya terus lari meminta bantuan... seorang pengawal keselamatan kemudian menghubungi ambulans," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
    
Sementara itu ketua rombongan Mazlan Abd Majid, 55, berkata semasa kejadian, beliau dan rombongan sedang berkumpul untuk pulang ke Taiping tetapi mendapati seorang daripada peserta rombongan belum sampai.
    
Pada awalnya kami berjanji untuk berkumpul di hadapan PWTC antara jam 5.30 dan 6 petang. Kami dapati seorang peserta tidak ada, jadi saya mengambil keputusan untuk mencari dan tidak lama selepas itu saya dimaklumkan ada orang meninggal dunia dan mendapati orang itu ialah Ahmad Hariri," katanya.
    
Beliau berkata Allahyarham Ahmad Hariri menghadiri perhimpunan itu kerana menggantikan anggota lain yang tidak dapat hadir.
    
Ketua Umno bahagian Taiping, Datuk Shalimin Shaffie pula berkata Ahmad Hariri merupakan anggota veteran bahagian Taiping dan datang ke PWTC untuk mengikuti perhimpunan agung Umno.
    
Kerana Ahmad Hariri meninggal di tempat awam, polis membawa jenazahnya ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan saya akan mengurus proses menuntut jenazah," katanya.
    
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu pada 5.45 petang.
    
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut berada di tempat kejadian mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berkata Umno akan menanggung segala kos pengurusan jenazah.
    

Felda Timbang Saman Harakah Dan Suara Keadilan



Timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Felda sedang mengkaji untuk mengemukakan saman ke atas lidah parti PKR, Suara Keadilan dan juga organ PAS,Harakah berhubung laporannya mengenai Felda.

Saman itu akan dikemukakan atas laporan di akhbar Suara Keadilandan Harakah itu memaparkan dakwaan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman bahawa Felda menjual minyak sawit kepada sebuah syarikat Israel.

Katanya, dakwaan itu disiarkan dalam Suara Keadilan bertarikh 27 November dan juga Harakah bertarikh 26-29 November.Ahmad berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mazlan di dua akhbar berkenaan merupakan satu fitnah dan bermotifkan politik.

Memang pembangkang ini pembohong dan pemfitnah. Mereka menuduh Felda berurus niaga dengan Israel, BN khianati rakyat Palestin dan minyak sawit dijual ke Israel. Akhbar ini memfitnah Felda. Mereka fitnah Felda bermakna fitnah kerajaan juga.

Ini bukan perkara kecil dan sebelum apa-apa saya nak maklumkan bahawa kita sedang mengkaji untuk ambil tindakan undang-undang kepada dua-dua, Suara Keadilan dan Harakah. Dakwaan ini satu kenyataan yang jahat dan bermotifkan politik," kata Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad, kumpulan Felda melalui anak syarikatnya Felda Iffco Oil Products (FIOP) tidak pernah menjual minyak sawit kepada mana-mana syarikat Israel termasuk Bunge Agribusiness Singapore Private Limited seperti yang didakwa Mazlan.

Katanya lagi, Bunge Agribusiness bukan syarikat Israel, sebaliknya merupakan anak syarikat Bunge Limited – sebuah syarikat senaraian awam di Amerika Syarikat yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia.

Kita memang ada hubungan dagang dengan Bunge Limited. Tak nafi. Tapi dia syarikat Amerika Syarikat yang disenaraikan di bursa saham Amerika Syarikat dan bukan syarikat Israel. Tak ada pun cawangan syarikat ini di Israel dan menurut maklumat yang saya terima mereka ada cawangan di Mesir.




Apa yang mereka tuduh ini adalah fitnah. Bagaimana surat khabar parti Islam ini boleh sebarkan fitnah. Kita akan saman. Kita dah maklum kepada peguam Felda dan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Khamis, 29 November 2012

UCAPAN DS NAJIB TUN RAZAK SEMASA PEMBUKAAN PAU 2012





Saudara dan Saudari sekalian,


1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
2. Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3. Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4. Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5. Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan.
6. Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharu mandat.
7. Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
8. Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9. Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional.
10. Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.
11. Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.
12. Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.
13. Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.
14. Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan.
15. Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16. Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA
Saudara dan Saudari,
17. Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
18. Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19. Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20. Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima.
21. Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
22. Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23. Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24. Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Saudara dan saudari,
25. Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26. Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.
27. Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28. Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29. Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.
30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
31. Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32. Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33. Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34. Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Saudara dan saudari sekalian,
35. Bersuluhkan jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
36. Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37. Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.
38. Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39. Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40. Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41. Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan individu.
42. Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.
43. Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,
44. Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.
45. Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif.
46. Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
47. Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48. Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya.
Saudara dan saudari,
49. Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
50. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Saudara dan saudari,
51. Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
52. Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
53. Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.
Saudara dan saudari,
54. Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
55. Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.
56. Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57. Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index”.
58. Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59. Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
60. Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar.
61. Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000 dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
62. Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan Malaysia”.
63. Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.
64. Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.
65. Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya :
66. Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
67. Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,
68. Inilah… inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.
69. Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.
70. Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pulak.
71. Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong pulak…heran..heran…
Saudara dan saudari,
72. Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus.
73. Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.
74. Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.
UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Saudara dan saudari sekalian,
75. Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
76. Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
77. Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.
78. Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?
79. Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Saudara dan saudari,
80. Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
81. Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.
82. Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.
83. Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
84. Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
85. Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
86. Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
87. Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Saudara dan saudari,
88. Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.
89. Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.
90. Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
91. Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.
92. Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
93. Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma.
Saudara dan saudari,
94. Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.
95. Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
96. Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.
97. Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.
98. Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
99. Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.
100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.
102. Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
104. Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.
106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.
107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
111. Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.
113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Saudara dan saudari,
116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.
117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.
118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara.
119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?
131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan…
132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat dek…jer…” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Saudara dan saudari,
133. Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.
134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? …Cuba habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni… macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”.
135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.
Saudara dan saudari,
136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.
137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :
• kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
• kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
138. Untuk jangka sederhana :
• kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
• kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. InsyaAllah.
Saudara dan saudari,
140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.
141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.
144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.
145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?
146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?
147. Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.
148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,
149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Saudara dan saudari,
Pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
Saudara dan saudari,
Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
Di sini… di sinilah kita dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai putera puteri… duhai para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan… pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah Putrajaya.
HIDUP UMNO!
HIDUP BARISAN!
HIDUP MALAYSIA!


29 NOV 2012


Tun Mahathir : Perhimpunan Tampak Lebih Kuat Dan Bersemangat










Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Perhimpunan Umno 2012 sebagai lebih kuat dan bersemangat, tanda semua perwakilan serta Umno secara keseluruhannya telah siap sedia untuk 'berperang' menghadapi pilihan raya umum ke-13.
  
"Saya kagum dengan semua perwakilan yang hadir pada perhimpunan kali ini apabila kesemuanya nampak lebih bersemangat, lebih-lebih lagi ketika presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) berucap.
  
Saya nampak semangat pada perhimpunan kali ini lebih kuat... bahkan lebih kuat daripada perhimpunan sebelum ini, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
  
Dr Mahathir yang kelihatan segak dengan berbaju Melayu jingga, menyifatkan ucapan perasmian Najib pada tahun ini sebagai satu ucapan yang hebat.

Beliau (Najib) telah menjawab segala tomahan, tuduhan dan fitnah yang selama ini dilontarkan oleh parti-parti pembangkang terhadap Umno," katanya.

Kalau PRU 13 BN Menang Besar Maka 100 Tahun Lagi Negara Malaysia Di Bawah Pemerentahan Barisan Nasional

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 menyatakan keyakinannya bahawa BN akan mentadbir negara sehingga 100 tahun akan datang sekiranya parti itu beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapannya, Perwakilan Wilayah Persekutuan Datuk Yahya Mat Ghani turut memberi amaran bahawa parti itu akan berdepan dengan penghinaan sekiranya tewas.

Kalau menang pilihan raya umum ke-13, 100 tahun lagi pasti dibawah BN.

Kalau kalah, na'uzubillah, bukan sahaja presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden akan menangis, tetapi pejuang Umno akan mengalirkan air mata dan anak cucu kita esok yang mewarisi perjuangan kita, dia lihat Umno, mereka hina dan caci (kita).

Ayuh bangun, bangkit untuk terus berjuang, kekalkan kuasa demi anak cucu kita," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.
Ketua Umno bahagian Batu itu seterusnya berkata beliau melihat PAS sebagai parti yang "lemah" dan "tidak popular" kerana terpaksa menukar pendirian negara Islam kepada negara berkebajikan.

Dakwanya, PAS terpaksa bertindak demikian kerana ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan negara Islam.

Dalam ucapannya, beliau meminta mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menyatakan sama ada Umno yang memperjuangkan tanah air, agama dan bangsa boleh dianggap sebagai parti "bukan Islam" atau murtad.

Oleh itu kita berharap doa yang dibacakan oleh mereka dahulu, dibalikkan kepada mereka. Ini yang sepatutnya," katanya yang turut membangkitkan isu mengenai ucapan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung isu kebebasan beragama.

Turut berucap, perwakilan Melaka Datuk Hasnoor Sidang Husin yang menyifatkan PAS sebagai parti komersial yang bermatlamatkan Putrajaya".

Ulama-ulama mereka menjadi bisu. Isu yang dibangkitkan, yang merosakkan hubungan dengan PKR, DAP, walaupun isu yang dibangkit ada kebenaran, PAS memilih memecat pemimpinnya sendiri," katanya.

Beliau memberi contoh dua pemimpin parti itu Datuk Hasan Ali yang dipecat dan Nasharuddin Mat Isa yang dipinggirkan kerana menyeru kepada perpaduan umat Islam.

Katanya, walaupun PAS mengambil tindakan seperti itu, golongan ulama dalam parti berkenaan dakwanya membisu terhadap kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya, berkaitan isu hudud dan kebebasan beragama.
 

Kita Akan Bersaing Untuk Setiap Undi Demi Pertahan Putrajaya

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti itu akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. 

Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno di PWTC pagi ini.

Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, Umno dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Di sini... di sinilah kita dilahirkan, di sini... di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.

Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman. Duhai putera puteri... duhai para pejuang bangsa, segeralah... segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan... pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini... pertahankan.... pertahankanlah Putrajaya.

Fajar telahpun tiba, nan menyinsing membawa harapan, Tanah Malaysia.... Tanah Malaysia... Permata Nilam," tegas Najib di akhir ucapan dasarnya itu.Beliau mengingatkan bahawa pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat  dan negara.

Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.

Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati rakan dan taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara," katanya.

Pilihannya juga amat jelas, tambahnya, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.

Di satu sudut, tambahnya, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman. Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. 

Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Muhamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan yang bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.

Sudah barang pasti Umno tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.

Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.

Justeru, saya selaku Presiden Umno, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam," tambahnya.

Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, Najib berkata, Umno tidak akan berpulang walau setapak, Umno tidak mungkin berpatah jalan. Umno takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. Umno dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.

Rabu, 28 November 2012

Peralihan Generasi UMNO Sudah Bersedia


Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) memikul tugas berat untuk memikat hati 42 peratus pengundi muda yang akan memberi impak kepada keputusan pilihan raya umum ke-13, penentu parti mana yang akan meneraju Malaysia. 

Tanggungjawab dan peranan untuk meraih undi kira-kira 5.37 juta pengundi berusi bawah 40 tahun ini mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh kerana Umno dan BN bersaing dengan parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan, sekaligus memenangkan parti masing-masing. 

Agenda memenangi hati dan minda pengundi generasi Y adalah antara yang disentuh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menyampaikan amanat kepada barisan pimpinan jawatankuasa bahagian, sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 semalam. Berdasarkan statistik suku ketiga Daftar Pemilih 2012 Suruhan Pilihan Raya, sejumlah 13.1 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Sebanyak 18.07 peratus atau 2.37 juta pengundi terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun manakala 22.8 peratus atau hampir tiga juta terdiri daripada kumpulan umur antara 30 dan 39 tahun. Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Muhammad Khairun Aseh ketika ditemui Bernama, merumuskan amanat Perdana Menteri memberi isyarat jelas bahawa Umno sudah bersedia untuk melalui peralihan generasi, iaitu menampilkan orang muda untuk memimpin parti dan negara.

Muhammad Khairun berkata konsep pengorbanan yang menghendaki pemimpin lama memberi laluan kepada golongan muda sebagai calon, terserlah dalam amanat presiden parti kepada anggota Umno, semasa beliau membincangkan isu taktikal Umno dalam menghadapi pilihan raya umum nanti. Katanya rata-rata anggota juga dilihat senada dengan Najib, melafazkan ikrar janji setia untuk bersatu padu dan kesanggupan mereka untuk berkorban demi parti.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Seputeh Muhammad Razlan Muhammad Rafii pula berkata Umno kini dilihat memberi peluang seluasnya kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan. Menurutnya pelbagai langkah yang diambil Umno, parti terbesar di negara ini yang sudah berusia 66 tahun, sering melibatkan dan memberi peluang golongan muda untuk turut sama memberi pandangan mereka dalam soal pentadbiran.

Beliau berkata Pemuda Umno akan terus memberi penjelasan kepada generasi muda mengenai usaha yang sedang dilakukan kerajaan khusus buat orang muda ketika ini, di samping berusaha menyediakan mereka untuk mencorakkan masa depan Malaysia. Katanya banyak program yang dilaksanakan kerajaan menyerlahkan kepentingan suara golongan muda dalam negara yang adakalanya tidak disedari mereka secara langsung, dan menjadi tanggungjawab Umno untuk menyedarkan mereka.

Pelbagai program dilaksanakan kerajaan khusus buat golongan muda, antaranya seperti karnival peluang pekerjaan, pemberian RM250 bantuan kewangan Bantuan Rakyat 1Malaysia dipanjangkan kepada kumpulan bujang berumur 21 tahun ke atas yang layak, rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun.

Adakah PAS Sendiri Patuh Syariah ?

Persidangan Dewan Rakyat hari ini gamat seketika apabila seorang MP BN mempersoalkan sama ada PAS merupakan parti yang mematuhi ketetapan syariah.Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bertanya demikian dengan mengaitkan satu doa bagi memohon kehancuran Umno yang dibacakan dalam muktamar PAS minggu lalu.

Adakah PAS sendiri mematuhi syariah apabila mendoakan kehancuran orang lain?" tanya Tajuddin yang mencelah ucapan perbahasan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor).Mengulas perkara itu, Dzulkefly kemudiannya berkata, PAS menganjurkan doa berkenaan atas kezaliman yang dilakukan Umno dan BN.

Tuan Guru (Nik Aziz) lebihkan berdoa untuk TKO (binasakan) Umno BN kerana Umno BN melakukan kezaliman dengan merompak royalti Kelantan pada angka RM10 bilion.

Apa yang dilakukan adalah doa-doa orang mazlum (mereka yang dizalimi), kerana kerajaan BN tidak hormati kesucian kontrak (royalti minyak)," tegas Dzulkefly.Tajuddin kemudiannya bingkas mempertahankan Umno dan BN yang didakwanya bukan sahaja bertanggungjawab memperjuangkan kemerdekaan negara malah turut membolehkan Dzulkefly menjadi MP.

Di mana yang menunjukkan kezaliman Umno? Umno dan BN-lah yang membuatkan saudara duduk di sebelah sana.Kemerdekaan 1957, siapa yang berjuang? Kerana itulah kita semua hari ini ada demokrasi.

Inilah (PAS) yang zalim, orang yang menuduh itulah yang zalim. Kitalah Islam yang sebenar, yang berlapang dada, kata Tajuddin.Jawapan MP tersebut turut mengundang celahan daripada Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah) yang berkata, Tajuddin sepatutnya menimbulkan isu berkenaan di perhimpunan agung Umno dan bukannya di Dewan Rakyat.

Tuan Yang Dipertua, (MP) Pasir Salak ini tersilap Dewan... Ini (dah macam) PWTC (punya) ucapan, celah Ahmad yang meyebabkan Tajuddin sendiri ketawa kecil.

PAS pada 16 November lalu mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur, yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am PAS itu, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti itu.Ahli Dewan Rakyat hari ini membahaskan Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan Islam 2012 itu yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

UCAPAN KETUA PEMUDA UMNO ( PAU 2012 )



“ANTARA DUA MASA DEPAN”

1. Hamzah Fansuri pernah bergurindam, kepada orang muda ditinggalkan pesan:

“Wahai muda kenali diri mu Ia lah perahu tamsil tubuh mu Tiada lah berapa lama hidup mu Ke akhirat jua kekal diam mu Hai muda arif budiman Hasilkan kemudi dengan pedoman Alat perahu mu jua kerjakan Itu lah jalan membetuli insan”

Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudrat untuk kita terus berkhidmat di atas wahana perjuangan UMNO, yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 66. Ulang tahun kelahiran yang telah menjadi saksi penglibatan Pemuda UMNO berlari megah, merentasi 191 bahagian, seantero 13 buah negeri, untuk mengibarkan Sang Saka Bangsa di cakerawala negara.

Sang Saka Bangsa – suatu nama keramat yang telah dizahirkan oleh Pergerakan kita sendiri.

2. Sebagai sayap paling penting dalam parti, organisasi kita menjadi pembawa wadah dan pelopor wawasan bukan sahaja buat orang Melayu tetapi juga seluruh watan, bermula dari era kolonial hingga ke kala arus permodenan mutakhir. Bukan sekadar menjadi pemerhati bisu atau pengikut tuli, namun sebagai pembawa obor perubahan, merintis jalan menuju kecemerlangan.

Sirah kemerdekaan merakamkan bahawa Pergerakan kitalah yang telah membawa usul pada tahun 1955, agar tarikh kemerdekaan disegerakan dan dibuat pada tanggal keramat 31 Ogos 1957.

Bahkan Pemuda jugalah perintis awal bagi semangat nasionalisme sejagat serta pengisian kemerdekaan yang inklusif dan sebenar, dengan cadangan agar slogan kemerdekaan ditukar dari “Hidup Melayu” kepada “Merdeka” pada tahun 1951. Natijahnya, dari dulu, kini dan selamanya, maqasid dan manhaj perjuangan Pemuda tidak pernah sirna dari memastikan UMNO kekal relevan.

3. Di atas landasan kesinambungan ini, Pemuda UMNO sentiasa berada di hadapan kelok perubahan zaman. Di kala awal penubuhan Pemuda, kita telah menggalas amanah sebagai kumpulan pendesak – sejajar dengan tuntutan era pra dan pasca penjajahan – yang akhirnya menyumbang ke arah kemerdekaan negara, dan seterusnya pembentukan Malaysia. Demi masa dan peralihan zaman, dan bersesuaian pula dengan konteks Model Baru Politik, kini Pemuda UMNO telah diberi nafas baru, penjenamaan semula dan perisian semasa sebagai pertubuhan yang lebih mampan dan proaktif dalam menangani isu generasi muda. Kita percaya, untuk menjuarai suara dan aspirasi pelapis bangsa, Pemuda haruslah mampu menawarkan wadah penyelesaian kepada mereka – bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir, terpekik terlolong menjaja retorik.

4. Penghijrahan tasawwur atau worldview baru yang saya tekankan tahun lepas adalah manifestasi kematangan perjuangan pertubuhan kita. Kita harus kekalkan keseimbangan antara tradisi dan pemodenan, kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah, antara hikmah sejarah dan potensi pembaharuan bukan semata untuk seiring dengan zaman, tetapi juga demi agama yang menuntut kemuliaan dalam kepimpinan. Justeru, agenda pendekatan islah politik ini menuntut kita untuk sentiasa berubah, agar peranan politik UMNO terus berada di batasan paling mutakhir.

5. Berbekal semangat juang tanpa sempadan, kita tidak hanya sekadar mengetengahkan peri-penting UMNO di mata orang muda. Tetapi selaku juara anak muda, Pemuda juga pencetus utama kepada UMNO untuk mencerminkan hasrat generasi baru yang menitikberatkan hak asasi manusia, ketelusan tadbir urus dan kebebasan bersuara. Di samping pendekatan dan penjenamaan baru ini, Pemuda tetap memelihara tradisi dan legasi parti keramat UMNO. UMNO kaya dengan warisan tersendiri – tiada satu pun organisasi lain dalam negara ini yang setaraf dengan UMNO dalam soal sejarah dan sumbangan kepada tanahair. Tradisi ini terus kekal terpelihara di bawah teraju dan kepimpinan Pemuda UMNO. Sayugialah pepatah Melayu: gayung bersambut kata berjawab, yang lama kita kelek, yang baharu kita junjung.

6. Apa yang tidak mampu disangkal lagi, adalah peranan Pemuda sebagai pemangkin dalam memugarkan sebuah kerajaaan yang mesra aspirasi anak-anak muda. Jika dahulu fungsi Pemuda sekadar kumpulan pendesak, kini kita telah menjalani proses transisi yang lebih menjurus kepada politik khidmat bakti dan politik islah. Sejajar dengan itu, kerajaan telah mengambil pendekatan sarwajagat yang terbuka dalam mengiktiraf anak-anak muda, dengan pelbagai inisiatif khusus yang sesuai dengan jiwa mereka. Pendekatan lapuk berbaur autoritatif, yang cenderung kepada mengarah kelompok bawahan, dan berasaskan program hiburan picisan semata, sudah tidak boleh diaplikasikan lagi – kerana kesemua ini berorientasikan pendekatan memperkecil dan meminggirkan bakat serta potensi orang muda.

7. Segala ini bertitik tolak dari penubuhan Makmal Generasi Muda atau BN Youth Lab yang dirangka khusus untuk mendalami naluri anak muda Malaysia. Sekalipun inisiatif ini sudah berusia lebih tiga tahun, namun ia program perintis Pemuda yang telah meneroka dan membuahkan program-program mesra orang muda, dari orang muda. Kita telah membawa satu pengislahan politik dari gerakan rambang penuh teka-teki, kepada mekanisme kontemporari berasaskan kajian dan buah fikiran kumpulan sasar. Makmal Generasi Muda juga telah mengangkat suara Pemuda UMNO dari sekadar pendesak politik kepada penjana cadangan bernas dalam perencanaan dasar negara. Lanjutan dari itu, pelbagai saranan telah dirumus merangkumi pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan, transformasi undang-undang melalui pemansuhan ISA serta rombakan AUKU, sekaligus pelbagai dasar dan program bagi penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan kawalan harga barang.

8. Sekali lagi sejarah tercatat semasa pembentangan Belanjawan 2011, apabila beberapa prakarsa Pemuda telah disebut dan diberi pengiktirafan seperti Skim Rumah Pertamaku, penubuhan Dana Belia 1Malaysia, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara ke arah penetapan gaji minimum dan juga pelbagai peruntukan dana serta skim latihan kemahiran. Bak kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya – segala inisiatif belanjawan yang mesra orang muda ini adalah rantaian dari suara dan gerak kerja Pemuda, yang telah menjadi ibarat payung besar di tengah padang, tempat bernaung dari panas, tempat bernaung dari hujan untuk anak-anak muda.

9. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak sampai melayang. Setiap zarah nikmat yang dikecapi tidak ditawarkan gratis, melainkan di atas perancangan rapi dan gerak kerja semua pihak dari pucuk pimpinan, kerajaan dan juga Pemuda. Hasil keringat dan pendekatan Pemudalah, hari ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) kian mesra generasi muda. Justeru, hakikat tidak terkhilaf lagi, suara dan peranan Pemuda didengari dan diiktiraf oleh parti dan kerajaan.

10. Selagi kita masih berkalam sebagai wakalah golongan muda, kerajaan tetap mengangkat suara dan menyelami masalah mereka. Contoh paling mutakhir adalah pengisian Belanjawan 2013 – belanjawan getir paling mesra orang muda setakat ini. Belanjawan yang mencakupi aspek dan isu generasi muda seperti perumahan, pekerjaan, latihan, skim bantuan keusahawanan, kos sara hidup, baucar buku, diskaun PTPTN, penjagaan anak-anak, bantuan BR1M 2.0, hatta untuk membeli telefon pun akan diberi rebat!

11. Lantaran itu, Pemuda bersyukur kerana YAB Presiden Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bukan sahaja seorang yang begitu menjiwai agenda islah politik, tetapi juga aspirasi anak-anak muda. Pemuda mengucapkan syabas kepada YAB Presiden di atas sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada program kesukarelawanan orang muda 1Malaysia for Youth (1M4U). Ini kerana aspek kesukarelawanan adalah salah satu cabang yang telah dipelopori dan dicetuskan oleh Pemuda, melalui inisiatif Dana Belia 1Malaysia.

12. Alhamdulillah, berkat dan hasil usaha gigih kita telah menjadi impetus kepada gelombang sokongan orang muda kepada BN. Ini bukan hebah kosong memuji diri, tapi sudah terbukti berkali-kali. Kalau dahulu, kita berjaya memancing kembali sokongan pengundi muda pulang ke dakapan BN, semasa siri pilihan raya kecil beberapa tahun lepas, hari ini bukti datang dalam bentuk pilihan raya kampus pula. 18 daripada 20 pilihan raya kampus dimenangi oleh golongan yang menyokong BN. Semua kejayaan ini timbul kerana agenda kita agenda orang muda, perjuangan kita perjuangan anak muda. Tanpa syak lagi, BN Pilihan Orang Muda.

Para perwakilan sekalian,

13. Menyusuri kembali rentetan khidmat empat tahun lalu, kita telah berjaya mengubah pemikiran dan tanggapan umum melalui pelbagai idea dan inisiatif mesra orang muda, yang telah diangkat menjadi dasar dan program kerajaan. Memegang ijtihad yang sama, saya mahu Pemuda UMNO terus merasuk semangat ke dalam minda anak-anak muda, menawarkan kepimpinan intelektual, di samping kita terus mengukuhkan peranan sebagai ejen penyelesaian dan pencetus idea kepada kerajaan, agar generasi akan datang terus mendapat manfaat. Kita ini kalau kurang berfikir rajin membangkang, sampai bila-bila pun di baris belakang.

14. Menjunjung tanggungjawab sebagai ejen pencetus idea, saya kemukakan cadangan pertama tahun ini. Pemuda sentiasa mengambil berat aspek latihan dan penghakupayaan di kalangan generasi muda. Kita sering mengambil langkah wahid dalam membantu graduan dan orang muda untuk mendapatkan pekerjaan. Tidak terhenti setakat itu, kita turut membantu mereka yang dikekang masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Memandangkan isu penghak upayaan amat penting dalam pembangunan modal insan, Pemuda berpendapat kerajaan harus melipat gandakan usaha dalam aspek ini. Malah, Pemuda proaktif mencerminkan dedikasi ini melalui Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) dan Biasiswa Pendidikan Pemuda (BNYES). Inisiatif-inisiatif ini akan kami teruskan lagi supaya menjadi legasi kepada generasi kepimpinan dalam Pemuda, insya-Allah.

15. Pemuda juga menyambut baik program seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), yang dirangka khusus untuk mempertingkat keupayaan graduan kita mendapatkan pekerjaan, dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga firma-firma swasta. Lantaran itu, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan agar agenda latihan dipikul oleh semua, dengan mensyaratkan sebarang projek dan kontrak kerajaan, hanya diberikan kepada syarikat yang mempunyai program latihan industri untuk anak-anak muda tempatan. Melalui pendekatan ini, tanggungjawab melatih orang muda tidak lagi menjadi tanggungan eksklusif kerajaan, tetapi turut dikongsi oleh pihak swasta yang mendapat manfaat dari projek dan kontrak awam. Pada masa yang sama, ia membuka peluang kerja dan memberi prospek yang lebih cerah, kepada golongan muda untuk mencari pendedahan dalam industri.

16. Cadangan kami yang kedua merangkumi isu kebanjiran buruh asing dalam negara. Setakat Ogos tahun lalu sahaja, dianggarkan ada 2.3 juta orang pekerja asing di Malaysia, tidak termasuk mereka yang datang tanpa izin. Pemuda tidak menyangkal kebergantungan kita kepada buruh asing, terutamanya dalam sektor-sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan. Namun pada masa yang sama, Pemuda serius dalam mengkaji tren pengaliran masuk pekerja asing ke dalam sektor lain, lebih-lebih lagi sektor perkhidmatan. Perkara ini genting kerana kita hendaklah memastikan struktur dan komposisi buruh selari dengan hasrat merombak ekonomi negara – dari berteraskan persaingan kos kepada ekonomi yang berlandaskan inovasi dan nilai tambah yang tinggi. Pemuda sedar bahawa kos seorang pekerja asing adalah lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Maka, Pemuda mengusulkan agar syarikat-syarikat yang menjana pekerjaan untuk warga muda tempatan, diberi pelepasan cukai atau geran, agar mereka tidak dikekang masalah kewangan untuk beroperasi.

17. Beralih pula kepada cadangan Pemuda yang ketiga. Selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), saya kerap melihat syarikat-syarikat tempatan berjaya menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, sehingga setanding dengan pesaing-pesaing mereka dari luar negara. Malangnya, syarikat-syarikat ini gagal memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada kerajaan, kerana kerajaan masih bergantung kepada produk dari luar negara. Pemuda simpatetik dengan musibah yang menimpa syarikat-syarikat ini, dan berharap kerajaan dapat membuka peluang kepada usahawan-usahawan tempatan, dengan memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan yang bukan saja berkualiti, tetapi juga menepati piawaian serta syarat-syarat tender yang dikenakan. Semua sedia maklum bahawa pasaran Malaysia adalah sangat kecil dan syarikat tempatan perlu ke luar untuk berjaya. Tetapi untuk diterima di luar, kita perlu jadi juara di gelanggang sendiri dahulu. Kalau kita lihat, negara-negara seperti China, Jepun dan Korea, mereka amat mengutamakan hasil tempatan melalui polisi kerajaan dan akhirnya, jenama mereka dapat kick-start yang cukup untuk berjaya di peringkat global. Oleh itu, Pemuda mengesyorkan Kerajaan melaksanakan kempen “Buy Malaysia First” atau “Beli Barangan Malaysia”, supaya usahawan tempatan dapat diberi keutamaan. Pemuda bukan mengkritik, sekadar mengingatkan. Jangan anak di pangkuan kita lepaskan, kera di hutan kita susukan.

18. Seterusnya kami ingin memberi cadangan tentang agama, khususnya tentang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam. Agama kita mewajibkan kebajikan dan bantu membantu antara satu sama lain. Tapi apa yang terjadi hari ini, pengagihan wang zakat tidak menyeluruh dan tak sampai kepada golongan yang memerlukan. Bila kita dengar mereka ini dibantu orang lain, dari agama lain atau isu murtad berleluasa dalam kalangan asnaf, kita melenting marah. Hakikatnya ini salah kita juga. Jadi Pemuda mencadangkan agar kerajaan memperluaskan usaha mencari asnaf di setiap peringkat,agar bantuan zakat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Tiada alasan untuk golongan ini tidak mendapat bantuan dari sudut agama, kerana agama telah mengajar bahawa kemiskinan menyuluh jalan kekufuran.

19. Seterusnya, Pemuda mengusulkan prakarsa kelima untuk mengembangkan lagi kelompok Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, terutamanya di kalangan usahawan dan profesional muda. Walaupun pendekatan masa kini lebih berpaksikan prinsip ketelusan dan pasaran, ini tidak bermakna kita mengetepikan matlamat untuk menghasilkan komuniti Bumiputera, yang ekonominya lebih berdaya tahan. Pemuda akan terus lantang bersuara demi memastikan medan persaingan yang adil, dan hasrat penstrukturan masyarakat terbentuk dengan jayanya. Pemuda juga berharap kerajaan akan menjana peluang lebih luas kepada golongan muda Bumiputera, bagi menjawat tampuk penting dalam soal pengurusan atau penggubalan dasar. Selama ini, bila timbul kekosongan jawatan lembaga pengarah GLC, peluang sering diberikan kepada pesara politik dan kerajaan. Amalan ini wajar disemak semula, mustahil tiada langsung profesional muda Melayu dalam dewan ini, mahupun di luar sana yang berkebolehan. Kami bukan menidakkan kebijaksanaan serta sumbangan pesara politik dan kerajaan, tetapi jenguk-jenguklah jua golongan muda. Kami yakin semangat dan idea baru orang muda dapat memberi nilai tambah kepada pengurusan sesebuah agensi atau GLC.

20. Satu lagi masalah yang ditanggung oleh orang muda, adalah apabila mereka terjerat dalam hutang, dan akhirnya diisytiharkan muflis dalam usia muda. Dari kira-kira 120 ribu kes kebangkrapan sepanjang tahun 2005 hingga 2012, 32 peratus daripadanya melibatkan golongan muda. Anak-anak muda ini gagal untuk meneruskan hidup dek bebanan kebangkrapan dan disenarai hitamkan. Nak berniaga tak boleh, nak beli rumah pun tak boleh, semuanya hancur dalam stigma seorang yang bangkrap. Pemuda menyeru kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada golongan ini. Hari ini, undangundang kebangkrapan persis hukuman mati mandatori untuk golongan bangkrap, ramai yang terkial-kial cuba keluar dari prosedur ketat, tapi gagal. Pemuda menyarankan supaya kerajaan melihat semula kepada mereka yang bangkrap, bebaskan mereka dari hukuman mati ekonomi yang bakal memburukkan lagi hidup mereka. Jadikan prosedur perlepasan kebangkrapan lebih mudah. Kita kurangkan tempoh masa untuk si bankrap memohon perlepasan, sejajar dengan tren di negara-negara lain. Kita juga harus membantu orang muda dengan memberi pendidikan tentang pengurusan kewangan. Dan dalam kes-kes tertentu, bayaran cukai boleh ditangguh dan bantuan kewangan diberi kepada usahawan untuk mengelakkan kebangkrapan. Janganlah disebabkan bangkrap, masa depan mereka hancur. Pemuda menyeru kerajaan membantu golongan muda dalam kesempitan kewangan.

21. Cadangan ketujuh menyentuh soal atap di atas kepala rakyat. Pemuda mengalu-alukan langkah kerajaan menambah baik Skim Rumah Pertamaku serta peruntukan dana 500 juta ringgit untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Namun, ada dua isu yang ingin Pemuda bangkitkan. Pertama, unit rumah PR1MA tidak cukup dan kedua, tentang sistem cabutan ballot. Anggaran menunjukkan bahawa hampir 50 peratus daripada golongan berpendapatan sederhana masih belum memiliki rumah di Lembah Klang. Hanya terdapat 9 ribu unit rumah kosong di negeri Selangor dan Kuala Lumpur berbanding dengan 370 ribu isi rumah yang masih mencari kediaman. Keduanya, dalam kita meraikan pemilihan berdasarkan sistem cabutan ballot yang dilaksanakan oleh PR1MA, Pemuda juga meminta agar kuota khas disediakan buat keluarga muda dalam semua projek perumahan PR1MA untuk memastikan kelompok ini tidak terlepas peluang

22.Dalam menjadi pendokong suara rakyat, cadangan Pemuda yang kelapan adalah tentang penstrukturan semula bantuan kebajikan. Ini kerana jumlah bantuan yang diberi perlu lebih logik untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik ini. Sebagai contoh, bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar hanya 300 ringgit sebulan. Cubalah kita bayangkan, 300 ringgit itu tak cukup untuk beli lampin pesakit, apatah lagi untuk menanggung kos ubat, tambang ulang-alik ke hospital dan makan-minum si penjaga orang sakit. Sehubungan dengan itu, Pemuda mendesak agar kerajaan dapat merombak semula dasar kebajikan, dari segi jumlah yang diberi dan kelayakkan pemohon, agar niat kita dalam memberi pertolongan benar-benar tercapai.

23. Cadangan kesembilan pula, Pemuda menggesa agar YAB Perdana Menteri tetap istiqamah, dalam meneruskan program transformasi politik beliau. Selain daripada isu-isu ekonomi, transformasi politik amat penting bagi orang muda di mana jua. Mereka dahagakan langkah untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan demokratik – iaitu satu usaha yang diteruskan oleh YAB Perdana Menteri, bermula dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Tetapi kita tidak boleh berhenti di situ sahaja, UMNO dan BN adalah parti sebenar yang memperjuangkan tadbir urus yang sempurna dan menentang rasuah. Parti yang melindungi hak asasi manusia dan menjuarai agenda masyarakat sivil. Ini adalah hakikat politik masa kini. Walaupun dulu kita fikir kita tak mampu hidup aman tanpa ISA, tapi kini kita berjaya membuktikan sebaliknya. Justeru, Pemuda mendesak kerajaan untuk meneruskan lagi transformasi politik ini, agar generasi muda tidak perlu mencari reformasi politik di gelanggang lain. Kita mahukan apabila orang muda berfikir tentang perubahan, mereka yakin BN lah pilihan muktamad. BN lah parti yang berjuang untuk integriti, ketelusan, kebebasan dan keadilan dari dahulu, kini dan selamanya.

24. Cadangan kesepuluh merupakan satu initiatif khas Pemuda UMNO yang bakal membawa berita baik kepada ribuan orang muda. Hasil kajian Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO (SHEB), ada kira-kira 200 ribu lebih penunggang motosikal, khususnya di kalangan orang muda yang tidak mempunyai lesen. Mungkin mereka tidak ada lesen kerana kecuaian sendiri, atau mungkin kos untuk mendapat lesen terlalu tinggi. Ramai di kalangan mereka sudah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menunggang tanpa lesen dan mereka tidak mampu mendapat pembiayaan guaman. Ada juga yang hidup ketakutan kerana waran tangkap sudah keluar. Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita kena terima hakikat bahawa ramai yang mengalami nasib ini sebab tidak mampu membayar kos mendapatkan lesen memandu. Atas kesedaran ini, saya ingin mengumumkan satu initiatif terbaru Pemuda UMNO yang bernama Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang telah dijalankan secara perintis di Pekan. Pemuda akan bekerjasama dengan JPJ, PDRM dan agensi-agensi lain untuk menawarkan kursus lesen motosikal pada harga 199 ringgit, yakni 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran. Kami juga akan minta supaya Kerajaan menaja sebahagian dari pemohon BL1M yang datang dari keluarga pendapatan rendah agar mereka dapat lesen dengan percuma. Kami juga dalam proses berunding supaya mereka yang sudah kena tindakan mahkamah mendapat eampunan jika melalui BL1M dan mereka terlepas dari kebimbangan dipenjarakan. Ini hadiah istimewa bagi golongan orang muda yang tersepit, khas dari Pemuda UMNO.

Para perwakilan sekalian,

25. Tidak dapat dinafikan, Pemuda memainkan peranan penting sebagai pelapis pucuk pimpinan parti induk kita. Yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di barisan paling hadapan kepimpinanan nasional pada hari ini, saya berani nyatakan, bahawa sebilangan besar daripada mereka telah diacu, dikelok dan diasah dari tampuk Pemuda UMNO. Apa tidaknya, YAB Presiden pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO. YAB Timbalan Presiden pula pernah menganggotai Exco Pemuda UMNO. Dua daripada tiga Naib Presiden UMNO hari ini bekas Ketua Pemuda pusat, dan seorang lagi bekas Ketua Pemuda negeri.

26. Kita menginsafi warisan ini, namun bak pesan Hamzah Fansuri dalam syair Perahu – muda dan gagah kita tak kekal lama, ia hanya pinjaman semata. Karier dan perjuangan kita dalam Pemuda UMNO juga begitu, punya tahap waktu, bak kata orang putih, ada ‘shelf life’. Tapi muda sekali biar bererti. Jangan kita noktahkan perjuangan dan khidmat bakti di paras satu, dua, atau tiga penggal cuma. Kita mesti mengatur strategi di luar norma biasa untuk melahirkan pemimpin dan generasi pelapis paling getir, untuk menyambung legasi pergerakan ini – para pelapis yang punya semangat setala Jebat, gagah bak Megat Seri Rama.

27. Jika diperhalusi lembaran sejarah, perkara mencari pelapis ini mesti dipupuk dari awal lagi –pantang dibuat semberono. Sejajar dengan harapan kita untuk melahirkan pelapis bermutu, Pemuda tidak pernah kenal erti lelah, siang atau kelam, dalam usaha untuk meningkatkan keahlian parti. Dan kita sebenarnya sudah lama mendepani sayap-sayap lain, mahupun parti induk sendiri, dalam meneroka dan menambah bilangan ahli baru. Dalam lebih kurang 43 bulan saya memegang jawatan Ketua Pemuda, tiada satu bulan pun di mana Pemuda tidak mendahului sayap lain dan parti induk dalam soal penambahan ahli. Angka tidak pernah menipu. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa Pemuda merupakan gerbang pintu masuk utama parti UMNO –khususnya dalam kalangan golongan muda. Tapi jangan kita tersilap – muda tidak bermakna jahil, kuantiti tidak menjamin kualiti. Usaha dan tanggungjawab kita tidak terhenti setakat mengambil nama dan mendaftar ahli, cabaran seterusnya datang untuk melahirkan generasi pelapis yang celik lanskap politik, cekap menjana idea baru dan mampu menyelusupkan hasrat generasi kontemporari, kepada badan Pemuda UMNO itu sendiri.

28. Menelusuri langgam generasi muda masa sekarang, kita telah menganjurkan program yang cocok dengan jiwa mereka, seperti Sukarelawan Pemuda BN atau BN Youth Volunteers (BNYV) dan BN Youth Kampus (BNYK), yang kita baru lancarkan semalam. Waima BNYV itu amat dekat di hati saya, apa yang tidak boleh dinafikan di sini adalah bukti penjenamaan semula Pemuda UMNO, kerana bukan calang-calang sambutan yang diterima. Di atas antelas BNYV, seramai lebih kurang 10 ribu orang muda, sudah mula menjiwai kelarai perjuangan BN. Apa yang lebih manis, untuk kita taulan seperjuangan, anak-anak muda dalam BNYV dan BNYK berprofil bukan sembarangan. Mereka individu muda bersahsiah, suka bertanya, punya visi dan misi tersendiri. Berkonotasi dengan keperibadian seperti ini, mereka bakal menjulang iktikad dan falsafah parti kita. Mereka tidak betah membeli omongan kosong dan sandiwara ampuh pihak pembangkang. Jika dulu kita fikir kita tidak akan mampu menawan hati gologan muda, yang sangat kritikal dengan perjuangan kita, tapi hari ini jelas penjenamaan semula Pemuda yang menjurus kepada politik khidmat bakti, telah berjaya menawan kelompok ini

29.Mungkin sebelum ini mereka berasa segan atau janggal untuk mendekati parti kita yang kaya dengan tradisi dan protokol tersendiri. Kini melalui BNYV dan BNYK, kita sudah mengubah nuansa pendekatan menjadi lebih terbuka, pragmatis dan inklusif untuk merapatkan barisan kita di aula generasi baru. Meskipun tidak berhasrat untuk menggantikan peranan bahagian dan cawangan UMNO, ia merupakan harfiah kreatif kita untuk memupuk modal insan yang lebih berkualiti dan berpotensi. Mudah-mudahan jika diizinkan Tuhan, adik-adik kita ini bakal jadi pelapis pimpinan Pemuda UMNO, lantaran meneruskan kesinambungan legasi untuk generasi akan datang.

30. Walau lorong perjuangan dan pengorbanan sudah jauh diteroka, kita tidak pernah alpa bahawa perangkaan politik kita memerlukan perancangan yang lebih syumul. Maka, saya dan kepimpinan pusat akan kekal berusaha mengenalpasti bakat-bakat segar dari dalam dan luar organisasi kita ini, untuk kita bimbing dan asuh menjadi harapan masa depan bila zaman Pemuda kita tamat kelak. Baik cawangan Pemuda mahupun kampus universiti, kami akan terus turun padang mencari individu berpotensi tinggi!

31. Jika kini fokus utama kita adalah PRU13, selepas pilihan raya kelak kita wajar melipat ganda usaha untuk mengasah bakat-bakat pemimpin yang baru. Dalam konteks hasrat ini, alang-alang kita berfikrah atas nama latihan dan pendidikan, Pemuda sedar bahawa pengisian kurikulum politik perlu selari dengan cabaran dan lanskap politik masa sekarang. Apa dangkalnya kita mencari seribu bakal pemimpin hari esok, seandainya hari ini mereka masih diasuh dengan pengisian politik jumud. Acapkali sudah saya menyentuh soal transformasi yang bergolak dalam kancah politik tanahair, kerana memang jelas, betapa minda dan kehendak generasi muda amat berbeza dengan generasi terdahulu. Demi membantu latihan generasi pelapis ini, saya mengumumkan hasrat kita membina satu akademi khusus untuk Pemuda UMNO, yang bakal diberi nama sempena Ketua Pemuda yang pertama, Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI). Saya impikan penubuhan akademi ini di Sabah, negeri yang mana walaupun bongsu dari segi penubuhan UMNO, tetapi telah menjadi antara kubu kuat parti kita. Ini untuk menjadi legasi kita dalam membina kepimpinan masa akan datang.

Para perwakilan sekalian,

32. Di samping kita memikirkan soal kepimpinan masa depan, wajar juga kita menginsafi tanggungjawab kita selaku pemimpin muda hari ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat ke-54: Yang membawa maksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu, Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”. Pengajaran yang dapat disingkap dalam ayat tersebut, masa muda hanya tiba sekali seumur hidup. Ia satu fasa kehidupan yang cukup penting dalam menjana kepimpinan. Perjalanan masih panjang, destinasi sudah jelas dipandang. Sungguhpun masih banyak yang perlu dipelajari, kita juga akui, rata-rata Pemuda sudah pun bersandar pada landasan yang kukuh dengan kekuatan dan jati diri. Sewaktu umur ini, Pemuda dalam situasi terbaik untuk menerokai idea-idea baru, lantas memperbaharui model kepimpinan dan politik generasi sebelum ini. Zaman muda adalah zaman keemasan yang mengurniakan peluang-peluang yang tidak datang sebelum datangnya muda, dan ia takkan datang lagi selepas perahu muda ini berlalu pergi.

33. Berpegang kepada tasawwur ini, kita insaf bahawa Allah SWT telah mengatur takdir dan ujian untuk setiap daripada kita. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat ke- 286: Bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

34. Dalam usaha kita untuk mengambil peluang zaman muda, sekaligus menzahirkan sebaik keupayaan kita, kita juga harus sedar bahawa kapasiti kepimpinan setiap insan, pasti berbeza. Tidak dapat tidak, dalam mana-mana arena politik sekalipun, sudah pasti ramai yang memendam cita-cita mendaki puncak kepimpinan. Dalam pendakian ini, janganlah pula kita terlalu ghairah mengejar puncak, sehingga kita alpa dengan pahala kebajikan. Maha Pencipta tidak mewajibkan setiap seorang daripada kita untuk menjadi pemimpin tertinggi masyarakat, apatah lagi pemimpin tertinggi negara. Sebaliknya, Islam mengajar kita bersatu, berlumba-lumba membuat kebaikan, selaku pemegang obor amanah Allah SWT.

35. Maka, jika kita berpegang kepada perjuangan berlandaskan amanah, kita takkan dengki, takkan rakus, dalam mengejar jawatan di muka bumi. Jauh lebih mulia, jika kita semua berjuang ikhlas atas asas kemampuan dan fitrah kurniaan Allah SWT. Ini yang menjadi kunci kejayaan sesuatu perjuangan murni – bukannya mahu berebut jadi ketua, wakil atau kepala. Dalam konteks parti dan pergerakan kita pun, kekuatan bukan terletak di bahu pemimpin teratas semata-mata. Sebaliknya, tulang belakang terbina dari sumsum kegigihan panglima-panglima muda di segenap peringkat – masing-masing dengan kelebihan dan senjata tersendiri. Berkat doa, istiqamah serta usaha yang ikhlas, insya- Allah, ajaran Islam memberi kita pedoman untuk mengacu aspirasi model kepimpinan berlandaskan keinsafan. Melaksanakan khidmat dan tanggungjawab demi kebajikan semua, dan bukan untuk memuaskan nafsu serakah semata.

Para perwakilan sekalian,

36. Di samping kita menyumbang keringat berdasarkan kekuatan unik masing-masing, kita juga sedar bahawa ada di antara kita, yang sesuai diketengahkan selaku pemimpin di persada politik negara. Selari dengan niat kita menggunakan kelebihan zaman muda dalam menerajui kepimpinan baru, kita bersuara kerana percaya era Pemuda telah tiba. Pola politik mutakhir ini memancarkan petanda yang jelas. Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa generasi mudalah kuasa penentu terbesar dalam politik negara. Tahun lepas di dewan yang mulia ini, saya menyentuh soal peralihan generasi berlandaskan perubahan pemikiran golongan muda. Lewat ini, soal peralihan generasi ini tampak semakin mustahak. Dalam asimilasi kita bersama geng muda di peringkat akar umbi, semakin jelas aspirasi mereka yang dahagakan kepimpinan serasi dengan congakan dan sudut pandang mereka.

37.Sebagai orang muda sendiri, sememangnya kita berada dalam kedudukan terbaik untuk benar-benar mencerminkan hasrat dan jiwa mereka. Kita yang paling dekat dengan orang muda, kita yang bergaul dengan mereka. Kita yang berada di barisan hadapan memperjuangkan kebajikan anak muda, tidak kira walau di Parlimen, di belakang tabir, di depan tabir, di mana sahaja – demi memastikan setiap dasar Kerajaan adalah dasar yang mesra orang muda.

38. Pemuda tidak mendesak apa-apa untuk kepentingan sendiri, jauh sekali untuk meminta-minta buat pemuas nafsu haloba. Namun, atas realiti politik masakini, kita berhasrat agar peralihan generasi ini bukan setakat di atas kertas sahaja. Jika realiti politik menunjukkan bahawa orang muda adalah segmen pengundi baru terbesar, bukankah munasabah sekiranya mereka mahukan wakil-wakil dari rakan sebaya mereka juga? Seafdalnya, biarlah peralihan generasi berlaku di peringkat parti, yang mencerminkan lebih ramai calon-calon Pemuda diberi peluang, pada pilihan raya akan datang.

39. Dan saya yakin, berbekalkan kesedaran dan usaha komited Pemuda, ramai antara kita memang sudah bersedia untuk memikul cabaran selaku calon pilihan raya. Waima begitu, kesetiaan kami tak pernah goyah terhadap keputusan muktamad YAB Presiden. Kami sekadar menzahirkan hasrat kami yang membuak kerana cintakan negara, membuak kerana percaya masa kami telah tiba. Segala apa yang kami usahakan adalah atas dasar kerja, tanggungjawab dan cinta kami terhadap UMNO. Kalau roboh kota Melaka Papan di Jawa hamba dirikan Kalau sungguh perkasa belaka Badan dan kudrat sila taruhkan Ke KotaTinggi membeli suasa Suasa di ikat bersama rotan Giliran kita sudah tiba Kini masa orang muda ke depan Nasi lemak buah bidara Sayang selasih hamba lurutkan Kami pemuda sudah bersedia Pantang berundur mengalah jangan! Para perwakilan yang dihormati,

40. Kini masanya sudah tiba, ini Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir, sebelum kita tempuh pilihan raya paling sengit dalam sejarah. Sekarang terbentang di depan mata, tersurat di susuk minda; dua pilihan untuk rakyat demi menentukan yang mana hak, yang mana batil; siapa layak, siapa kecundang untuk memegang tampuk pentadbiran. Antara dua pilihan masa depan, yang akan ditentukan pada piliharaya akan datang. Dan apabila kita cakap tentang pilihan, jangan tepuk dada tanya selera, itu cara lama. Kita orang bijaksana harus tepuk minda tanya hati, sebelum jari memangkah kertas undi.

41. Pilihan masa depan pertama tawaran pihak lawan, manisnya bukan kepalang. Janji populis puak Pakatan tak kenal sempadan. Masa depan yang berasaskan semuanya percuma – atau hampir percuma sungguh merdu di telinga, tapi hakikat nyata berbeza. Bermula dari penurunan harga minyak sekiranya esok mereka berkuasa, penghapusan PTPTN dengan segera, pelupusan tol jalan raya tidak semena, penurunan harga kereta, hatta pendidikan pun akan diberi semua percuma. Segalanya tampak indah bila kita hidup dalam utopia ciptaan Anwar Ibrahim. Tapi perlu diingat, tiada yang percuma dalam dunia, janji beliau bisa membankrapkan negara. Kos bagi janji mereka mencecah lebih 200 bilion ringgit dalam tahun pertama sahaja. Untuk pembangkang, sama ada negara bankrap atau tidak, sama ada kewangan diurusbaik atau sebaliknya, langsung tak ambil pusing, yang penting mereka hanya mahu merampas tampuk kuasa.

42. Ujian pertama bagi sebarang janji adalah penghalusannya. Dalam hal ini, untuk hebahan semua, jumlah peruntukan bagi belanjawan Kerajaan Persekutuan 2012 adalah sebanyak 232.8 bilion ringgit. Daripada jumlah tadi, janji-janji pilihan raya pembangkang sahaja, hampir mencecah 90 peratus daripada belanjawan tahunan kerajaan. Jadi jika kesemua janji mereka dipenuhi dalam tahun pertama memerintah, akibatnya, kerajaan tidak akan punya cukup wang untuk membayar gaji guru, doktor, jururawat, polis dan tentera, apatah lagi membina jalan, sekolah, hospital atau menyediakan bantuan kebajikan. Jika ini berlaku kesemua perkhidmatan penting akan terhenti dan negara akan gagal berfungsi. Jika pembangkang memutuskan untuk meminjam lebih banyak wang untuk membiayai janji-janji mereka, defisit kerajaan akan membengkak, hutang pula kian mencanak.

43. Inilah gambaran sebenar masa depan yang dilakar oleh pembangkang – gelap dan kabur dengan bayangan janji tak bertulang. Apa yang pasti, sekiranya mereka teruskan juga taburan janji mereka – negara akan bankrap dan lemas dalam hutang. Atau mungkin inilah niat mereka yang sebenar, untuk menunaikan hajat Ketua Umum yang terbantut – mengemudi negara ke lembah kehancuran sebelum diselamatkan oleh gerombolan rakan-rakannya di IMF.

44. Rakyat sudah lama cerdik lagi arif, dan kita sedia maklum bahawa pembangkang itu saudagar mimpi. Dari utara ke selatan, dari Semenanjung ke pulau Borneo, tak kenal letih, terkinja-terkinja menjaja retorik. Namun masa depan bersama kami, kemudinya berlainan. Malaysia bersama BN tidak akan ditimpa bala ekonomi seperti Greece, rakyat tidak akan terpenjara di bawah beban hutang yang mencengkam, kita tidak akan memporak-perandakan kestabilan ekonomi, bukan macam pakatan pembangkang, silap haribulan terpaksa melutut minta pinjam wang dari IMF.

45. Kalaupun bukan isu bangkrap yang jadi perhitungan, apakah sanggup kita memperjudikan nasib negara di tangan pembangkang yang tak pernah punyai rekod mentadbir negara. Ya, kita akui mereka kini mentadbir beberapa negeri, tapi kalau kita baca Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini, haru-biru ceritanya.

46. Di Selangor misalnya, apa jadi dengan Skim Tabung Anak Wawasan Selangor (TAWAS) yang dicanang, digendang, gegak gempita seantero negeri? Janji untuk beri simpanan tetap 100 ringgit untuk setiap anak Selangor, ditempelak keras dalam Laporan Audit. Apa tidaknya, harapan nak ringankan beban keluarga punah berderai. Dalam 61 ribu permohonan, hanya 36 peratus sahaja diluluskan. Kalau ikut KPI saya, itu sudah gagal betul namanya. Ternyata, Tawas sudah tewas!

47. Itu belum kita jengok masalah di UNISEL. Tidak payah saya berhujah panjang, cukup sekadar mengingatkan Pakatan bahawa mengikut Laporan Audit 2008, UNISEL merekodkan keuntungan 5.97 juta ringgit, hasil warisan pentadbiran BN. Namun, selang dua tahun sahaja, segala keuntungan hangus dek kerakusan dan ketidakupayaan pembangkang – dari untung terkumpul hampir 6 juta ringgit, menjunam rugi 47.3 juta ringgit pada tahun 2010. Saya cadangkan, sebelum berjanji memberi pendidikan percuma, betulkanlah dulu kepincangan di UNISEL.

48.Itu baru laporan audit Tawas dan Unisel, janji-janji pra PRU12, bagaimana pula? • Mana janji pendidikan tadika percuma? • Mana janji mencarum Takaful untuk warga emas dan si kurang upaya? • Mana elaun ibu tunggal, sampai dah kena saman? Mana elaun khas suri rumah? • Mana janji bekalan air percuma setiap bulan tanpa syarat?

49. Itu Selangor, belum lagi kita perhalusi apa yang jadi di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Di Kelantan: • Harapan Program Ladang Rakyat, bagi membantu golongan miskin dengan pemberian dividen dan gaji untuk peserta, punah berkecai tak kesampaian.

• Bukan sahaja gagal, malah amalkan kronisme pula. Bertempik terlolong mereka jaja kononnya kita amalkan kronisme, namun bagaikan musang berbulu ayam, dalam diam baki projek dipajak kepada syarikat kroni pilihan Kerajaan PAS sendiri, tanpa penilaian terperinci.

• Mereka bising projek Lynas dan Pengerang kerana kesannya kepada alam sekitar. Ini lah apabila gajah depan mata tak nampak, kuman seberang lautan mereka nampak. Kawasan tadahan air di Bukit Pos Pasik, tercemar akibat pembalakan melampau dan pembukaan ladang rakyat. Orang asli juga terpaksa berdepan dengan penyakit apabila air tadahan kotor berlumpur. Ini belum lagi kita cakap tentang bekalan air kotor yang terus menyeksa rakyat Kelantan.

Di Pulau Pinang:

• Sandiwara pembangkang yang kononnya menjaga rakyat, terkulai rebah dalam kes tanah Taman Manggis, tanah yang sepatutnya dibina rumah kos rendah sebaliknya dijual kepada syarikat swasta. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pemuda BN Pulau Pinang kerana telah mendedahkan penipuan Ketua Menteri dengan menyahut cabaran menyediakan wang untuk beli tanah tersebut. Tapi sehingga hari Lim Guan Eng diam membisu tak berani sahut cabaran, takut pecah tembelang.

Di Kedah: • Pengurusan pentadbiran negeri Kedah lebih kecamuk, boleh buat pelaburan di luar negara tanpa kelulusan lembaga pengarah dan mendedahkan wang kerajaan negeri dalam pelaburan berisiko tinggi.

• Penyelewangan berlaku di sana-sini, termasuk dalam menyediakan rumah kos rendah untuk rakyat termiskin. Ada bukti menunjukkan kontraktor yang tak cukup syarat dilantik dan pelik bin ajaibnya pula ada bayaran untuk satu kontraktor dibayar kepada pihak lain.

• Ada kontraktor yang membuat tuntutan berulang-ulang pada kerja yang sama dan pada unit rumah yang langsung tak wujud. Ini dosa besar bila kita mencuri dari golongan miskin melalui rasuah dan sikap tidak amanah.

50. Begitulah, saudara-saudara, rencah pentabdiran Pakatan, tanah dirampas, peruntukkan digadai, alam sekitar dihina dan pengurusan kewangan cacamarba. Kalau dapat mentadbir negara, habis punah, kita semua menempah celaka. Kalau kita mahu memperbutirkan satu persatu janji populis dan kegagalan pakatan pembangkang, jawabnya sampai ke subuh kita bersidang. Cukup sekadar saya sebut, peluang mentabdir di beberapa negeri telah mereka tongsampahkan. Janji tinggal janji, tak cekap mentadbir kewangan dan negeri, pendek kata mereka memang tak mampu, tak layak memerintah negara!

Para perwakilan sekalian,

51. Bercakap atas angin itu murahan, janji sembarangan itu khayalan. Berbeza dengan masa depan yang ditawarkan oleh BN, memang pantang perjuangan kita menghancurkan negara dengan polisi populis melulu. Lantaran itu, masa depan yang kita tawarkan kepada rakyat, berasaskan transformasi yang syumul, bukan reformasi jalanan bersalut janji.

52. Kita arif benar, kelangsungan hidup bertonggakkan realiti. Masa depan yang dicorak kerajaan BN untuk rakyat, berkala di atas fakta dan penyelidikan. Wang di kantung dicongak, dihitung, sebelum menabur sebarang janji. Tidak tegar kerajaan ini meletakkan masa depan anak watan, di meja perjudian kuasa seperti pakatan pembangkang.

53. Memang sahih, kita buta hati seandainya gagal mentafsirkan 55 tahun kemerdekaan ini, sebagai bukti kewibawaan BN. Benar, memang tiada pentadbiran yang maha kamil. Namun kita akui, dalam tempoh lebih setengah abad itu, walau ada cacat cela dan kekhilafan, kepimpinan BN sahajalah yang mampu meneroka kemerdekaan, mengisi kelompongan pentadbiran, menstruktur ekonomi rakyat, mengindustrikan sektor tani, dan meneroka perkembangan alam maya. Komitmen tinggi ini diterjemahkan lagi dengan wawasan jangkauan jauh dan juga transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden sendiri.

54. Kita lihat sahaja Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Kerajaan BN membuka telinga kepada segala rintihan dan suara berat rakyat. Kos sara hidup kita tangani, rasuah kita perangi, pendidikan kita perluaskan dan kadar jenayah seluruh negara kita turunkan. Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) pula melihat Malaysia menjadi sebuah oasis yang stabil dan maju dalam kancah kemelesetan ekonomi dunia. Tatkala negara lain sengsara dengan kadar pengganguran, dan harga barang yang mencanak naik, negara kita tetap utuh dengan visi ekonomi kerajaan BN. Kita tetap gah menjana ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan perniagaan, menarik masuk pelaburan dan meningkatkan perdagangan. Ini bukan bohong jajaan saudagar mimpi, inilah realiti kita hari ini dan hari esok, insya-Allah, kita akan jadi lebih bagus. Hakikatnya, pembangkang tak mampu memacu negara ke arah status negara maju berpendapatan tinggi, stabil dan menjana lebih banyak pekerjaan, menjelang tahun 2020. Mereka hanya penabur janji, sedangkan kita arkitek realiti. BN berpijak di bumi yang nyata, bukan berendoi fantasi dunia. Pokoknya, masa depan yang ada visi dan realiti, adalah masa depan dengan Barisan Nasional di sisi.

Para perwakilan sekalian,

55. Itu baru perbandingan dari sudut mentadbir ekonomi. Jelas tak terkata, masa depan bersama UMNO dan BN lebih mantap lagi terjamin. Sementara di bawah Pakatan, masa depan bakal punah dan jahanam. Bagaimana pula dengan masa depan rakyat dari sudut nilai kemasyarakatan dan maruah negara? Masih jelas dalam fikiran apabila gambar YAB Perdana Menteri dipijak, dikoyak dan ditayang bontot dengan hina. Siapa yang ajar anak muda kita berbuat demikian, kalau bukan pembangkang yang memupuk politik kebencian, di kalangan generasi muda untuk membenci pemimpin dari awal lagi?

56. Apa jadi dengan budaya muafakat dan demokrasi berparlimen yang telah lama kita amalkan? Kalau Pakatan berkuasa, Parlimen bakal jadi gajah putih kerana mereka tak percaya keluruhan undang-undang, tapi mereka sukakan rusuhan. Untuk mereka apa yang penting, jeritan siapa lebih kuat dan berapa ramai datang berdemo di jalanan. Setiap kali ada masalah, mereka desak rakyat jangan berbincang dengan kerajaan, teruskan saja berdemo di jalanan, apa yang mereka bawa hanya budaya anarki dan revolusi semata.

57. Masa depan yang beginikah kita mahu di bawah mereka? Rencam seperti inikah yang pembangkang dambakan untuk generasi baru? Apa jadi dengan nilai kita orang timur? Mana rangka pembangunan negara, mempertahan maruah bangsa? Semuanya hilang dalam rakus merebut kuasa.

58. Sejarah bukan catatan semata, sejarah adalah sempadan pengajaran yang mesti diingati. Kita bangga kerana sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin kita bersinonim dengan Merdeka, UMNO adalah pasak utama dalam menuntut kebebasan dari penjajah, dan kita semua di dewan hari ini, adalah pewaris kepada tradisi kemerdekaan itu. Tapi ada juak-juak yang tak letih mengancam kemerdekaan ini, Ketua Umum mereka kantoi besar menagih, meminta, campur tangan asing untuk pilihan raya akan datang. Ini bukan sahaja memalukan negara, malah menghina perjuangan kemerdekaan kita. Sungguh terdesak mereka hingga tergamak minta kuasa asing menentukan destinasi politik kita. Terang-terang mereka tak yakin dengan kebijaksanaan rakyat dalam menentukan pilihan, hingga sanggup mengheret orang luar untuk mengajar kita –sedangkan demokrasi kita sudah bertapak lama. Masa depan beginilah yang bakal kita hadapi di bawah Pakatan: daulat disita, maruah dihina.

59. Dan perjuangan UMNO tak pernah tersasar dari paksi dan nilai Islam, malah kita pejuang sebenar dalam soal mempertahankan maruah agama, bukan macam parti yang bernama Islam. Lidah ulama mereka jadi kelu bila orang biadap seperti Ngeh mencerca agama kita, kecut menikus tak berani bersuara bila konsep negara Islam sinis ditertawa DAP, dan bila keluar mazhab baru menggalakkan murtad, mereka terus bisu! Kalau begitulah onarnya, PAS bukan pejuang agama, sekadar menjadikan agama sebagai platform untuk agenda politik mereka. Di bawah nilai Islam yang nirmala, pimpinan tertinggi PAS sanggup mendoakan kebinasaan UMNO, kebinasaan saya dan anda semua dalam dewan ini. Kalaulah doa-doa begini diajar kepada anak-anak kita, apa nasib bangsa dan agama sekiranya mereka berkuasa? Sesiapa saja yang mereka tak suka, didoakan supaya lekas binasa. Tapi tak apa, kita bukan seperti mereka, kita sama-sama doakan agar ahli-ahli PAS selamat selamanya, dan suatu hari nanti mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi sesat di bawah ketaksuban dengan pemimpin yang gemar menyemai kebencian.

60. Bila bercakap soal berjuang untuk agama dan keadilan sejagat, UMNO sudah lama bersuara untuk rakyat Palestin, tapi puak yang sebelah sana apa cerita? Kepada penerbitan The Wall Street Journal, Ketua Umum mereka gah berkata ala juara: “I support all efforts to protect the security of the state of Israel” (“Saya menyokong segala usaha untuk mempertahankan keselamatan Negara Israel”). Tapi sekarang saat Palestin dibedil rejim Israel, orang yang sama sanggup buat pusingan U turn! Kata dia, Israel “pengganas” kerana menyerang Gaza. Sekali lagi contoh sesumpah yang menukar warna mengikut kepentingan semasa.

Para perwakilan,

61. Bagaimana pula dengan pilihan dua masa depan itu untuk orang Melayu? Sedarlah semua, hanya UMNO sahaja yang dapat mempertahankan bangsa Melayu. Ini bukan soal pilihan tetapi hakikat, kerana tidak ada parti lain yang mampu menjaga kedudukan Melayu serta Islam, selain UMNO. Jelas terbukti pakatan pembangkang langsung tidak memperakui perjuangan, serta pengorbanan orang Melayu. Di samping kita membawa gagasan inklusif di bawah 1Malaysia, perjuangan UMNO tak kan pudar, apatah lagi berundur barang setapak, dari menjadi pembela dan wadah perjuangan orang Melayu. Ternyata sudah, di kala kekalutan orang Melayu melihat PAS mengenepikan matlamat negara Islamnya, pada masa PKR sibuk dengan ehwal peribadi Ketua Umumnya, UMNO tetap tegar membawa agenda masa depan orang Melayu. UMNO payung orang Melayu, UMNO pembawa obor masa depan orang Melayu, UMNO dan Melayu kekal terpatri selamanya.

62. Kini jelas di hadapan kita, masa depan bersama BN akan menjamin Perlembagaan kekal dijulang, Raja dijunjung, Islam dimuliakan, kedaulatan negara dipertahankan dan bangsa Melayu diperkasakan. Manakala, masa depan di bawah Pakatan akan melihat negara bakal muflis, maruah bangsa dipijak-pijak, kacau bilau di mana-mana, Islam yang tidak terbela, keruntuhan akhlak dan moral, silap haribulan kemerdekaan tergadai. Di bawah muslihat Pakatan, Persekutuan Malaysia akan jadi perpecahan Malaysia. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan ideologi dan undang-undang yang berbeza. Hudud versi PAS akan mengawal hidup di Pantai Timur sekaligus menakutkan orang bukan Islam dan konsep “Malaysian Malaysia” yang meminggirkan orang Melayu akan bermaharajalela di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Manakala di negeri-negeri PKR pula, tiada apa yang suci, semuanya halal, anything goes, asalkan Anwar kekal dijulang.

63. Pakatan apa sebenarnya mereka ini? Nama saja Pakatan namun jarang sekali bersepakat, sehinggakan calon Perdana Menteri belum tentu yang mana. Siapa bakal Perdana Menteri mereka? PAS kata Hadi Awang, DAP kata Anwar Ibrahim, geng muda PKR kata bagi kepada anak Ketua Umum. Ramai lagi yang mahu jadi Perdana Menteri dalam Pakatan ini sebenarnya, namun semuanya kabur belaka. Berbeza sekali dengan BN – semuanya jelas pilihan Perdana Menteri kita hanya satu, tak lain tak bukan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Di bawah pakatan pembangkang, negara akan berpecah, perpaduan rakyat akan berpatah arang berkerat rotan! Demi bangsa yang merdeka ini, Pemuda tidak akan sesekali membenarkan negara terpisah di bawah tiga sistem berbeza, tiga falsafah hidup bertentangan dan tiga ideologi politik berasingan. Jangan digadai jerih nenek moyang menyatukan negara ini, kita tidak akan benarkan masa depan hancur di tangan mereka. Nyata, hanya satu masa depan yang akan mengekalkan kita bersama, masa depan 1Malaysia, untuk semua rakyat Malaysia, di bawah Barisan Nasional!

Sahabat sekalian,

64. Semboyan perang pilihan raya sudah bergema, bersedialah Pemuda jangan kau alpa. Sesungguhnya sejarah itu benar; Mahal airmata bapa kemerdekaan itu benar; Getirnya pengorbanan bapa pembangunan itu benar; Berlikunya jalan bapa perpaduan itu benar; UMNO pembela bangsa Melayu itu benar; Pemuda UMNO hulubalang bangsa itu juga benar; Kita ambil pengajaran dari mimpi-mimpi Onn Jaafar yang hilang.

65. Dalam berahi kita membongkar helah pembangkang, jangan sekali kita lupa. Di hadapan benteng bala tentera musuh kian mara. Langkah demi langkah, mereka seret bendera dan meriam kehancuran, yang bakal meranap harmoni yang telah lama kita bina.

66. Sejarah dunia mengajar kita – saat-saat serupa pernah berlaku. Detik yang menentukan antara benar dan batil; antara makmur dan jahanam; antara petualang dan pahlawan! Bagi mereka yang setia, kala detik ini tiba, muncul erti sebenar perjuangan yang hakiki. Bertaruh hidup dan mati atas nama maruah dan kepercayaan.

67. Kita imbas saat tercetusnya Perang Dunia Kedua, sewaktu gerombolan Paksi hampir menyentuh kepulauan Britain, di kala bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churcill, menyemarak semangat juang rakyat. Detik getir antara dua kemungkinan, antara dua masa depan, antara cahaya dan kegelapan. Perwira itu tak goyah, tak gentar, malah berikrar: negaranya akan bertempur di lautan, bertempur di udara, di tepi pantai mahupun di celah jalanan. Negaranya tidak akan menyerah kalah, kendati pun dibiarkan kebuluran!

68. Dengan seiras semangat juang, saya menyeru para perwakilan, mari kita tempur seteru kita di segenap ruang! Kita bahas mereka di Parlimen, kita patahkan hujah mereka di kedai kopi, kita dedah muslihat mereka di alam siber! Tak kira di kota atau di desa, kita tumpaskan pengkhianat bangsa. Kita tempur, kita gempur, lantas berkuburlah Pakatan durjana!

69. Wahai pejuang-pejuang muda, detik penentu begini tak kerap tiba. Semboyan parti kita belum pernah menjerit selantang ini. Gemanya menyeru setiap kita, walau apa badai melanda, walau mati segala cita-cita, kita berikan segalanya di medan juang ini, hingga ke titisan darah yang terakhir! Ini ikrar kita, kita pastikan semua di luar sana tahu, pastikan sejarah tercatit, dikala seteru tiba, bala tentera Pemuda terpacak di barisan paling hadapan, sanggup berkorban, demi agama, bangsa dan negara.