Sempena kedatangan Syawal, bagi seluruh Pimpinan dan Warga Perkasa di dalam mahupun di luar negara, izinkan Perkasa mengucapkan, “SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI – MAAF ZAHIR BATIN,” buat seluruh umat islam dan diiringi doa semoga ibadah di bulan Ramadhan mabrur serta mendapat keampunan Allah SWT.
Dalam pada kita bergembira meniti hari lembaran, pelbagai peristiwa yang mendukacitakan telah berlaku di negara kita Malaysia yang dicintai ini. Kehilangan MH370, MH17 ditembak jatuh, banjir besar di Pantai Timur, gempa bumi di Sabah dan kegelisahan rakyat tentang kos kehidupan yang semakin meningkat serta pelbagai isu lain kita lalui.
Marilah kita bersama memainkan peranan yang pro aktif semoga negara kita Malaysia terus aman makmur dan stabil sebagaimana yang pernah kita nikmati sebelum ini, sejak merdeka. Justeru itu, umat islam yang merupakan golongan majoriti yang menjadi umat dominan yang boleh menentukan kesejahteraan negara. Negara selamat pastinya rakyat akan selamat.
Kita semua tahu sejarah bagaimana terbentuknya Asas Perlembagaan Negara (Fasal 153) bagi merealisasi kemerdekaan dan seterusnya terbina negara Malaysia pada 16 September 1963. Setelah ujian dan cabaran yang dilalui sebagai negara berbilang kaum bukan bumiputera, maka lahir PRINSIP RUKUN NEGARA selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969.
Kelangsungan negara berjalan dengan baik melalui demokrasi terpimpin sehingga Malaysia menjadi negara islam contoh dan negara membangun dunia ke -3 yang paling maju dan progresif. Menjelang tahun 2020, Malaysia dijangka menjadi negara maju namun rentetan peristiwa beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan keadaan dalam negara agak tidak tenteram. Semua berlaku akibat keghairahan perebutan kuasa politik.
Lantaran itu, negara dan perpaduan rakyat kembali terancam yang menyaksikan Agama Persekutuan digugat dan dihina dengan pelbagai cara, Institusi Raja dicabar dan Asas Perlembagaan mula ‘dipijak’ dengan melupakan sejarah dan kerangka negara yang dibina. Slogan 1 Malaysia diterjemah sebagai ‘Malaysian Malaysia’ manakala umat Melayu islam dan bumiputera makin dihimpit dan jurang ekonomi antara kaum makin melebar.
Tergugatnya kaum majoriti bumiputera yang merupakan kaum dominan sudah tentu tidak membantu kepada kestabilan dan keselamatan negara jangka panjang. Atas prinsip inilah Perkasa mahu keadilan kek ekonomi diagih secara adil antara kaum dan bukan setakat dasar membantu kaum ikut keperluan tetapi jurang ekonomi negara mesti diagih dengan adil serta selaras dengan jumlah kaum yang menjadi rakyat Malaysia.
Perkara ini mesti diperbetulkan dengan dasar-dasar yang tegas. Umat islam yang merupakan umat Melayu wajib bersatu dan meningkatkan azam serta semangat menuntut Hak Keistimewaan Melayu yang menjamin Perlembagaan Negara dilaksanakan atau tidak. Dilebur dan dihapus ‘secara halus’ Perlaksanaan Dasar-Dasar Ekonomi terkini dari segi kandungan Dasar dan Program yang tidak mencerminkan Dasar Ekonomi Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ianya lebih kepada retorik dan bukan realiti dari segi perlaksanaan.
Perkasa ‘ tidak senang hati’ dengan kandungan RMK 11 walaupun pihak EPU cuba memberi penjelasan melalui surat kepada saya yang ditandatangani oleh Dato’ Seri Wahid, yang bertanggungjawab dalam EPU. Perkasa akan respon kepada jawapan tersebut.
Dengan ini, sempena sambutan Aidil Fitri, Perkasa menyeru kepada seluruh umat islam agar bersatu atas prinsip, ’Bersatu Teguh Bercerai Roboh’, dan memainkan peranan membantu ke arah menstabilkan perpaduan antara kaum. Perpaduan umah adalah teras kepada perpaduan antara kaum. Perpecahan umah diibaratkan seperti ‘seekor kura-kura meniti di atas pokok yang condong’. Tegakkan pokok untuk menjadi payung perpaduan dan memperjuangkan serta mempertahankan hak yang sah dengan takbir Hari Raya sesemarak mungkin sebagai semangat jihad melalui perpaduan.
Maaf Zahir dan Batin
Dato’ Ibrahim Ali
Presiden Perkasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan